KUALA LUMPUR: Diplomasi yang berkesan antara Malaysia dan United Kingdom (UK) memainkan peranan penting dalam memahami perspektif berbeza mengenai isu seperti minyak sawit dan hak asasi manusia, kata Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay.

Minyak sawit, isu pertikaian antara Malaysia, UK dan Kesatuan Eropah telah mendorong kepada perbincangan yang bertujuan untuk lebih memahami mengenai isu tersebut, katanya pada program bual bicara Bernama TV - "The Nation" semalam.

"UK telah mengambil peluang untuk memahami perspektif Malaysia, mengiktiraf kepentingan industri minyak sawit kepada ekonomi Malaysia.

"Melalui pertukaran pandangan ini, UK lebih memahami terhadap usaha Malaysia untuk meningkatkan kemampanan dan produktiviti dalam industri termasuk perbandingan dengan tanaman lain," kata Hay.

Beliau juga berkata bahawa Malaysia dan UK telah berkongsi hubungan yang rumit dan kadangkala tegang, bagaimanapun dijalin secara erat menerusi hubungan budaya, sejarah dan diplomatik.

"Kecenderungan kerajaan UK untuk menumpukan perhatian terhadap rantau Indo-Pasifik telah menjadi lebih kukuh, mengukuhkan hubungan pasca-Brexit dengan Malaysia.

"UK telah menjadi rakan dialog dengan ASEAN, rakan dialog baharu yang pertama dalam tempoh 25 tahun dan turut menandatangani Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan Malaysia," katanya.

Hay berkata kemasukan UK ke dalam CPTPP memberikan peluang kepada kedua-dua negara dan pada masa sama melindungi kepentingan pelabur British dan memupuk perjanjian perdagangan yang adil dan berfaedah.

Beliau menegaskan bahawa perubahan iklim telah menjadi tumpuan penting dengan Malaysia terlibat dalam usaha global untuk menanganinya termasuk komited kepada karbon sifar bersih.

"UK telah menyokong Malaysia dalam usahanya untuk mengamalkan amalan yang lebih mampan dan mengurangkan pelepasan karbon melalui pelbagai projek," katanya.

Hay akan kembali ke London, UK, bulan ini selepas menjalankan tempoh perkhidmatan selama lebih empat tahun di Malaysia.

-- BERNAMA