KUALA LUMPUR: Pendekatan 'diplomasi budiman' strategik dan berprinsip Malaysia dalam menangani konflik semakin meruncing di Asia Barat disifatkan sebagai langkah wajar bagi memastikan negara dapat memainkan peranan konstruktif dalam meredakan ketegangan yang berlaku.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata dalam situasi geopolitik yang amat kompleks dan berpotensi mencetuskan konflik lebih meluas, pendekatan diplomasi secara berhati-hati dan berprinsip amat diperlukan.
Advertisement
"ABIM mengambil maklum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berhubung secara langsung dengan beberapa pemimpin negara yang terlibat dan berkepentingan bagi menggesa langkah untuk meredakan ketegangan serta menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan dan keharmonian dalam kalangan negara negara Islam.
"Usaha ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai suara sederhana yang menggalakkan dialog dan penyelesaian secara damai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata dalam diplomasi antarabangsa, banyak proses penting berlaku melalui saluran yang tidak semestinya diumumkan secara terbuka, justeru keberkesanannya tidak wajar diukur semata-mata melalui kenyataan terbuka atau retorik awam.
Beliau berkata amalan diplomasi inklusif yang diamalkan sejak sekian lama membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk negara-negara Teluk, Iran serta kuasa besar dunia seterusnya berperanan sebagai jambatan dialog dalam situasi konflik.
Dalam konteks Asia Barat, Ahmad Fahmi berkata realiti geopolitik juga perlu diambil kira dengan negara-negara Teluk sendiri berusaha mengelakkan konflik lebih luas di rantau tersebut kerana pendekatan yang bersikap terlalu konfrantasi dari luar rantau berpotensi menjejaskan usaha penstabilan yang sedang berjalan.
Malaysia, katanya, perlu terus menyuarakan keprihatinan terhadap keadilan dan keamanan, khususnya dalam isu Palestin dan penderitaan rakyat Gaza, namun pada masa yang sama memastikan langkah diambil tidak menutup ruang diplomasi yang sedang diusahakan.
"Malaysia secara tradisinya memainkan peranan sebagai jambatan dialog antara Asia Tenggara, dunia Islam dan masyarakat antarabangsa yang menuntut pendekatan seimbang, berhemah dan berpandangan jauh agar kita terus dipercayai dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan global,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata cadangan agar Malaysia mengambil pendekatan lebih konfrontatif dalam konflik itu perlu dilihat secara berhati-hati, kerana dalam realiti hubungan antarabangsa, diplomasi yang berkesan bukan ditentukan oleh kenyataan paling lantang, tetapi keupayaan membina kepercayaan serta membuka ruang dialog antara pihak yang bertelagah.
"ABIM menyeru semua pihak termasuk masyarakat MADANI agar menyokong inisiatif diplomatik yang konstruktif serta mengelakkan polemik yang boleh menjejaskan ruang diplomasi yang sedang berjalan.
"Malaysia wajar memainkan peranan sebagai negara yang mengutamakan dialog, kestabilan dan keamanan demi kepentingan umat manusia sejagat," katanya.
-- BERNAMA