KUALA LUMPUR: Diplomat asing di Malaysia pada Selasa menzahirkan ucapan selamat maju jaya di platform media sosial X kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry berkata, beliau gembira kerana berpeluang mengucapkan terima kasih kepada Seri Baginda Paduka berdua atas hubungan erat di antara United Kingdom dengan Malaysia.

"Menjunjung kurnia Tuanku," katanya.

Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Karima El Korri turut mengucapkan selamat maju jaya kepada baginda berdua dan menyifatkan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sebagai contoh kepimpinan dan menjadi inspirasi.

"Selamat maju jaya..." katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah dalam platform sama berkata: "Pesuruhjaya Tinggi menyampaikan ucapan selamat maju jaya bagi pihak Presiden, Perdana Menteri dan rakyat Pakistan kepada Seri Paduka."

Kedutaan Sepanyol di Malaysia menerusi X berkata: "Selamat berangkat balik kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah. Legasi baginda berdua kekal dalam ingatan kami."

Sultan Johor Sultan Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.
- BERNAMA