Skip to main content

Malaysia

'Discharge' atau 'Transfer': Di mana punca kebuntuan teknikal tahanan rumah Najib?

Pada akhirnya, rakyat mengharapkan agar persoalan ini dapat dirungkai, bukan kerana mereka menyokong atau membenci, tetapi ingin melihat sesuatu yang bersandarkan pada kebenaran. - Gambar fail
Pada akhirnya, rakyat mengharapkan agar persoalan ini dapat dirungkai, bukan kerana mereka menyokong atau membenci, tetapi ingin melihat sesuatu yang bersandarkan pada kebenaran. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Isu pelaksanaan titah tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak kini terarah kepada satu persoalan teknikal yang wajar diteliti dari sudut tatacara kehakiman dan pentadbiran. 

Persoalan tersebut berlegar kepada ketepatan terma sama ada dokumen perintah mahkamah sepatutnya memperuntukkan pelepasan penuh atau pemindahan jagaan. 

Di peringkat perlembagaan, keabsahan titah pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong XVII tidak lagi dipertikaikan oleh mana-mana pihak. 

Advertisement

Istana Negara turut menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat bertarikh 18 September 2026 itu adalah jelas, nyata, dan tanpa sebarang keraguan sebaik sahaja denda RM50 juta selesai dijelaskan. 

Dilema Perintah 'Discharge'

Advertisement

Namun, di peringkat pelaksanaan undang-undang bertulis, pihak berkuasa berdepan dilema berikutan laras bahasa yang tertera pada perintah bermeterai Mahkamah Tinggi bertarikh 6 November. 

Dokumen bertajuk Order of Discharge on Payment of Fine tersebut secara spesifik mengarahkan pegawai penjara untuk melepaskan bekas perdana menteri berkenaan serta-merta. 

Mengikut amalan biasa perundangan dan pentadbiran institusi penjara, arahan pelepasan atau discharge lazimnya membawa erti seseorang banduan itu dibebaskan sepenuhnya daripada rekod jagaan. 

Arahan ini secara teknikal menandakan individu terbabit tidak lagi tertakluk di bawah kawalan pihak penjara bagi waran hukuman yang berkaitan. 

Status Premis Berwarta Penjara

Keadaan menjadi rumit apabila Kementerian Dalam Negeri pada tarikh sama telah mengisytiharkan kediaman di Jalan Langgak Duta sebagai sebuah penjara yang sah. 

Pewartaan di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 itu menetapkan premis berkenaan sebagai lokasi penahanan bagi orang dalam jagaan sah. 

Berdasarkan peruntukan undang-undang tersebut, status beliau sebenarnya masih kekal sebagai orang dalam jagaan yang menjalani baki hukuman di bawah kawal selia Jabatan Penjara. 

Pengurusan jagaan terbabit secara undang-undangnya kekal terletak di bawah bidang kuasa Komisioner Jeneral Penjara. 

Justeru, dari sudut tatacara pentadbiran penjara, tindakan membawa beliau keluar dari Penjara Kajang ke premis berwarta itu merupakan satu proses pemindahan banduan atau transfer.

Konsep pemindahan antara dua premis penjara ini berbeza sama sekali dengan konsep pelepasan keluar daripada sistem pemenjaraan. 

Kecacatan Draf Dokumen Mahkamah

Selain pertembungan istilah asas tersebut, dokumen perintah mahkamah bermeterai itu sendiri turut mengundang tanda tanya apabila mempamerkan beberapa kecacatan draf yang ketara.

Antara yang mencuri tumpuan ialah penggunaan kepala dokumen yang mencampurkan bahasa secara janggal iaitu "In The Tinggi Court at Wilayah Persekutuan".

Dokumen terbabit turut memperlihatkan perenggan templat Bahasa Inggeris yang digabungkan secara terus dengan petikan titah Bahasa Melayu tanpa penyelarasan format yang kemas, selain ejaan nama tertuduh yang tidak konsisten.

Kesilapan teknikal sebegini menimbulkan persoalan bagaimana sebuah dokumen perundangan berprofil tinggi yang dimeterai boleh terlepas daripada semakan tatacara yang ketat.

Kecacatan draf serta percanggahan istilah ini meletakkan pihak Jabatan Penjara dan Jabatan Peguam Negara dalam kedudukan yang memerlukan ketelitian undang-undang yang tinggi. 

Melaksanakan arahan pelepasan secara harfiah dikhuatiri mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukan status baki hukuman yang sepatutnya dijalani secara tahanan di rumah. 

Di samping itu, status pelepasan penuh daripada satu kes turut dikhuatiri membawa implikasi teknikal terhadap penguatkuasaan waran bagi prosiding perundangan lain yang masih berjalan.

Pihak penjara sebaliknya tidak boleh memindahkan seseorang banduan tanpa dokumen perintah mahkamah yang tepat mengikut kerangka statutori yang sah. 

Penyelarasan Demi Kedaulatan Undang-Undang

Bagi merungkai kebuntuan ini, pemerhati perundangan yang dihubungi Astro AWANI melihat jalan keluar yang paling tertib adalah menerusi permohonan penjelasan atau pembetulan di Mahkamah Tinggi.

Langkah tersebut membolehkan dokumen perintah diperbetulkan kecacatan teknikalnya serta diselaraskan khusus bagi mencerminkan status tahanan di rumah dan pemindahan jagaan mengikut Akta Penjara. 

Penyelarasan teknikal ini diyakini mampu melicinkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong secara teratur tanpa mengenepikan prinsip kedaulatan undang-undang. 

Pada akhirnya, rakyat mengharapkan agar persoalan ini dapat dirungkai, bukan kerana mereka menyokong atau membenci, tetapi ingin melihat sesuatu yang bersandarkan pada kebenaran.

 

Must Watch Video

Advertisement