Skip to main content

Malaysia

Penubuhan SCI tanah runtuh Paya Terubong tunggu dapatan siasatan JKKP - Chow

Kerajaan negeri akan menunggu JKKP mengemukakan dapatan dan syor, sebelum mempertimbangkan tindakan selanjutnya berhubung kejadian itu. - Gambar fail
Kerajaan negeri akan menunggu JKKP mengemukakan dapatan dan syor, sebelum mempertimbangkan tindakan selanjutnya berhubung kejadian itu. - Gambar fail
Advertisement

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memutuskan keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Negeri (SCI) berhubung kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong selepas Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri selesai menjalankan siasatan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan menunggu JKKP mengemukakan dapatan dan syor, sebelum mempertimbangkan tindakan selanjutnya berhubung kejadian itu yang meragut nyawa seorang doktor berusia 73 tahun.

“JKKP sedang menyiasat dan akan memberi syor (kepada kerajaan negeri). Keputusan sama ada SCI akan diputuskan selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penang AI Feture Makers Bootcamp 2026 di Kolej SEGI Pulau Pinang, di sini hari ini.

Advertisement

Beliau mengulas gesaan beberapa pihak supaya kerajaan negeri menubuhkan SCI bagi menjalankan siasatan bebas, berhubung tragedi tanah runtuh pada 25 Okt.

Sementara itu Chow berkata tarikh penduduk terjejas boleh kembali ke kediaman masing-masing belum dapat dipastikan, kerana kawasan itu masih belum disahkan selamat.

Advertisement

“Saya rasa masih belum boleh pulang ke rumah, sebab belum isytiharkan tapak itu selamat,” katanya.

Sebelum ini, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan menggesa siasatan bebas dijalankan berhubung tragedi tanah runtuh itu, selain menuntut pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan kawasan lereng bukit dikenakan tindakan.

Dalam kejadian pada 25 Okt, Dr Wong Kar Lin, 73, maut selepas tertimbus akibat tanah runtuh yang menjejaskan rumahnya, manakala isterinya Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mentuanya Wong Poh Lim, 80-an berjaya menyelamatkan diri.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement