Skip to main content

Malaysia

Diskaun 50 peratus tambang ECRL tarik minat keluarga, warga emas

Kakitangan ECRL, Ani Azureen Zainuddin menunjukkan kadar tambang pada sidang media di Stesen ECRL, Gombak, Selangor. - Gambar Bernama
Kakitangan ECRL, Ani Azureen Zainuddin menunjukkan kadar tambang pada sidang media di Stesen ECRL, Gombak, Selangor. - Gambar Bernama

Advertisement

KUANTAN: Diskaun sebanyak 50 peratus bagi tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang ditawarkan kepada penumpang yang layak menjadikan perkhidmatan transit itu sebagai pilihan pengangkutan yang lebih berpatutan, khususnya bagi keluarga yang membawa anak-anak dan warga emas.

Penjawat awam, Fairus Mohd, 42, berkata, diskaun itu memberi peluang kepada beliau membawa tiga anaknya yang berusia antara tiga dan tujuh tahun serta ibunya Jeriah Abdul Rahman, 75, menaiki ECRL ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mereka sekeluarga adakalanya ke ibu negara bagi menyelesaikan urusan tertentu selain melawat ahli keluarga.

“Dengan adanya diskaun ini, saya dapat merancang perbelanjaan perjalanan dengan lebih baik, terutama apabila membawa anak-anak dan ibu yang sudah berusia, selain dapat mengelak kesesakan jalan raya, khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya kepada Bernama. 

Menurut Fairus, penggunaan ECRL juga memberikan pengalaman baharu kepada anak-anaknya untuk merasai perjalanan menggunakan kereta api, selain menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.

“Bagi saya, harga tiket berpatutan dan perkhidmatan ini dijangka memberi keselesaan serta memendekkan waktu perjalanan. Saya dan keluarga tidak sabar untuk mencuba dan berharap banyak tiket tersedia,” katanya.

Anak jati Pahang itu berkata, sebelum ini penerbangan menjadi antara pilihan utama bagi mereka yang ingin sampai ke destinasi dengan lebih cepat, namun perkhidmatan ECRL menyediakan satu lagi alternatif pengangkutan darat untuk perjalanan ke Pantai Timur dan Lembah Klang.

Bagi warga emas, Noril Azian Jaafar, 60, diskaun tambang sebanyak 50 peratus yang ditawarkan adalah satu inisiatif yang amat membantu dalam menjimatkan kos perjalanan, sekali gus memberinya peluang untuk lebih kerap pulang ke Pasir Mas, Kelantan bagi menziarahi saudara-mara.

“Walaupun ibu bapa telah tiada, saya sering ke Pasir Mas untuk melawat abang di sana. Adanya ECRL dan diskaun ini, saya dapat pulang lebih kerap ke sana. 

“Dalam usia begini, keselesaan menjadi keutamaan saya. Apabila menggunakan ECRL, saya boleh turun di stesen Kota Bharu sebelum dijemput oleh saudara untuk ke Pasir Mas, cara ini lebih memudahkan urusan perjalanan saya,” katanya yang menetap di sini. 

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, Jemaah Menteri meluluskan diskaun sebanyak 50 peratus bagi kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad orang kurang upaya serta pesara kerajaan.

Selain itu, pelajar berumur 13 hingga 24 tahun layak mendapat diskaun 40 peratus.

Tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan ECRL dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer dilaporkan bermula serendah RM125 sehala manakala perkhidmatan ekspres bagi laluan sama bermula RM147.

Bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang transit bermula RM95 sehala dan perkhidmatan ekspres bermula RM110 manakala perjalanan Gombak-KotaSAS sejauh 209 kilometer, tambang bermula RM60 bagi transit dan RM68 untuk ekspres.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement