KULIM: Pasangan kekasih ditanggap khalwat oleh Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mutiara, Sungai Kob di Karangan di sini, pada jam 12.13 tengah malam tadi selepas menerima aduan awam.

Ketika ditahan lelaki itu memberi alasan untuk menumpang tidur di rumah teman wanitanya kerana memudahkanya untuk pergi dan pulang dari kerja.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim (PADK), Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, lelaki berusia 23 tahun itu mendakwa dia baru sahaja menumpang di rumah teman wanitanya.

“Sebaik anggota PADK mengetuk pintu, wanita itu membuka pintu serta membenarkan pemeriksaan dilakukan di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan menemukan seorang lelaki berada di dalam bilik kedua di dalam rumah terbabit dan hasil soal siasat mendapati, kedua-duanya bukan pasangan suami isteri atau mahram dan tidur di bilik sama sehingga menimbulkan syak berlakunya maksiat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Anwar Sharifudin berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut mengenali wanita itu yang juga berusia 23 tahun tidak sampai setahun.

Menurutnya, mereka bekerja di tapak pesta di taman perumahan tersebut manakala lelaki berkenaan menetap di Sungai Ular, dekat sini.

"Semasa kejadian, ibu wanita itu berada di rumah abangnya di Pahang, manakala bapa tirinya tiada di rumah," ujarnya.

Pasangan tersebut kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Kob untuk laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.

Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.