NATIONAL
Dituduh bakar kereta mufti: Peniaga kain Mee Tomoi mengaku tak bersalah

Mee Tomoi dan Mohd Azimar dituduh secara bersama membakar kereta Honda Accord berwarna hitam milik kerajaan negeri, dengan niat menyebabkan kerosakan. Astro AWANI/Gambar Fail
Seorang peniaga kain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan khianat membakar kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pada Mac lalu.
Tertuduh, Ahmad Mee atau dikenali sebagai Mee Tomoi, 49 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, Ahmad bersama seorang lagi tertuduh yang sudah didakwa pada Mei lalu, secara bersama membakar kereta Honda Accord berwarna hitam milik kerajaan negeri, dengan niat menyebabkan kerosakan, di Jalan Persiaran Wawasan, Kangar pada jam 5 pagi, 22 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan denda.
Pada 24 Mei lepas, Mohd Azimar Abdul Razak, 36 tahun, dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tuduhan sama, juga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Diyana Ab Syukor.
Bagaimanapun, Nor Diyana memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh berpendapatan rendah, selain turut menanggung seorang isteri, ibunya yang lumpuh berumur 66 tahun dan bapa tiri berumur 70 tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes pada 5 Ogos depan.
Pada 6 Julai lalu, Astro AWANI melaporkan, Ahmad yang dipercayai suspek kedua dalam kejadian bakar kereta rasmi Mohd Asri itu, berjaya ditahan polis selepas hampir empat bulan diburu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami