NATIONAL
DoF rancang bangun kompleks tukun di Pantai Timur

Peruntukan bagi pembangunan kompleks tukun akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi menjelang Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13). - Gambar fail
KUCHING: Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) merancang untuk membangunkan kompleks tukun di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung berikutan aktiviti pencerobohan serta sumber perikanan yang merosot.
Ringkasan AI
- Jabatan Perikanan Malaysia (DoF) merancang untuk membangunkan kompleks tukun di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, termasuk Kelantan, Pahang, dan Terengganu, untuk meningkatkan hasil perikanan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
- Peruntukan bagi pembangunan kompleks tukun akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi menjelang Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk merancakkan aktiviti akuakultur di seluruh negara. DoF berharap mendapat peruntukan yang besar untuk memenuhi permintaan semua negeri.
- Sarawak menjadi penyumbang terbesar pengeluaran akuakultur negara, dengan penghasilan kira-kira 11,000 tan metrik pada tahun lepas. Sejumlah RM6.66 juta telah disalurkan kepada penternak akuakultur di Sarawak melalui Skim Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SpeKS).
"Kita nak cuba mewujudkan kompleks tukun itu dan sasaran kita dalam tempoh lima tahun akan datang. Bagaimanapun, kita tidak akan meninggalkan wilayah Sarawak untuk inisiatif ini," katanya dalam sidang media selepas Program Rasa-rasa Akuakultur dan Karnival myAgropreneur Perikanan (myAP), myKomuniti Perikanan (myKP) di sini hari ini.
Pada 8 Feb lepas, Bernama melaporkan DOF giat menjalankan pelbagai program pemuliharaan, terutama di kawasan berstatus sensitif bagi memastikan kemampanan stok ikan negara terjamin.
Dalam pada itu, Adnan berkata peruntukan bagi pembangunan kompleks tukun itu, antara cadangan yang akan dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi pada minggu hadapan menjelang Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bertujuan merancakkan aktiviti akuakultur di seluruh negara.
Beliau berkata pihaknya sering mendapat permohonan untuk melaksanakan program perikanan daripada kerajaan negeri, khususnya berkaitan pembinaan tukun tiruan di perairan.
"Kita mengharapkan supaya mendapat satu angka yang besar supaya kita boleh mengagihkan peruntukan ini secara adil kepada setiap negeri ... sekarang ini dengan bajet sangat terhad, kita tidak boleh memenuhi permintaan semua negeri.
"Kita percaya program tukun ini akan dapat ditingkatkan dan semua negeri akan dapat manfaat, kita boleh laksanakan setiap tahun malah ramai nelayan yang memohon untuk membangunkan tukun di kawasan mereka," katanya sambil menambah setakat ini sebanyak 202,004 unit tukun tiruan dilabuhkan di perairan Sarawak sejak 1984.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau memaklumkan Sarawak menjadi antara penyumbang terbesar pengeluaran akuakultur negara, menyaksikan kira-kira 11,000 tan metrik penghasilan berbanding keseluruhan 510,000 tan matrik seluruh negara pada tahun lepas.
Beliau menyeru lebih ramai rakyat Malaysia untuk menceburi bidang penternakan akuakultur dan menjadi usahawan perikanan menerusi program yang ditawarkan DOF.
Sehingga 2024, sejumlah RM6.66 juta disalurkan kepada penternak akuakultur di Sarawak melalui Skim Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SpeKS) manakala sejumlah RM958,000 diagihkan kepada 10 peserta sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan komuniti bagi tahun ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami