KUCHING: Seorang doktor perubatan ditahan polis Kuching bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencabul pesakit wanita di sebuah institusi perubatan awam di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa dalam kenyataan berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11.30 pagi, semalam ketika lelaki itu sedang menjalankan prosedur pemeriksaan kesihatan di bilik.

Menurutnya, ekoran tindakan pegawai perubatan tersebut, mangsa berusia 34 tahun telah membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching telah menangkap seorang suspek, lelaki tempatan di Balai Polis Sentral Kuching yang juga bekerja di institusi perubatan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kejadian dipercayai berlaku pada 29 Disember, suspek telah mengambil kesempatan untuk mencabul kehormatan mangsa ketika menjalankan prosedur pemeriksaan secara bersendirian di dalam bilik rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Merbin menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Sementara itu, pihak Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian atau kenyataan yang tidak tepat berkenaan isu ini bagi memberi ruang siasatan lanjut dilakukan.