KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal memohon Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain untuk mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak yang mengeluarkan dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa warganegara.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha progresif mereka dan memastikan pihak-pihak berkepentingan dalam hal ehwal pendidikan dan kesihatan mengiktiraf dokumen sementara.

Jelas beliau, langkah tersebut merupakan perubahan baik pentadbiran utama yang memihak kepada kanak-kanak tanpa warganegara.

"Selain daripada pencabulan hak kepada kewarganegaraan, orang tanpa kewarganegaraan sering terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia yang lain.

"Oleh itu, saya merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk menerima pakai langkah yang sama untuk dilaksanakan di semua negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Sarawak akan sedia dokumen sementara untuk kanak-kanak tanpa taraf warganegara

BACA: Dokumen sementara kanak-kanak tanpa warganegara jamin kelangsungan hidup 

Beliau berkata, sejak penubuhannya, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) telah menerima banyak aduan berkaitan isu tiada kewarganegaraan.

Ia termasuk kelewatan dalam pendaftaran persekolahan, penolakan kemasukan ke sekolah, kesukaran mendapatkan akses kepada pendidikan dan kos perubatan yang tinggi.

Perkara itu, jelasnya, bertentangan dengan kewajipan antarabangsa Malaysia selaku negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), untuk memastikan semua institusi menjadikan kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai pertimbangan utama dalam semua tindakan.

BACA: KPWKM, KPM bekerjasama pastikan pendidikan kanak-kanak tiada dokumen

Sebelum ini, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullahmengumumkan keputusan untuk mengeluarkan dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa warganegara.

Pengeluaran dokumen sementara bertujuan membolehkan kanak-kanak tanpa warganegara di Sarawak mendapat akses ke sekolah-sekolah awam dan perkhidmatan perubatan pada kadar yuran yang sama seperti warganegara Malaysia.