KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak mengambil langkah untuk mewujudkan dokumen sementara bagi mengatasi masalah kekangan terhadap akses ke atas kanak-kanak yang tidak memiliki status kewarganegaraan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah, dokumen itu diwujudkan bagi memudahkan urusan untuk mendapatkan perkhidmatan asas seperti kesihatan serta institusi pendidikan rendah dan menengah.

"Pengeluaran dokumen sementara ini hanya bertujuan untuk memudahkan atau membantu individu tanpa kerakyatan untuk memohon akses kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan di negeri ini dan bukan satu janji untuk mendapatkan kerakyatan negara," katanya pada Sabtu.

Ujar beliau, Kerajaan Persekutuan masih mempunyai hak mutlak untuk meluluskan status kewarganegaraan berdasarkan Seksyen 15A Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu beliau menambah, secara realitinya, kanak-kanak tiada taraf kewarganegaraan yang menggunakan pas pelajar masih perlu membayar yuran tertentu seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kajian kementeriannya turut mendapati yuran tersebut memberi kesan kepada kualiti pendidikan dan ekonomi khasnya buat keluarga di pedalaman.

Oleh yang demikian, beliau menyeru mana-mana kanak-kanak yang tidak mempunyai status kewarganegaraan boleh melakukan permohonan bagi mendapatkan dokumen berkenaan menerusi kementerian di bawahnya. 

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Program Kesedaran Autistik Kuching (KAA) di Pustaka Negeri Sarawak di Kuching pada Sabtu.