KUALA LUMPUR: Pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 mampu merangsang respons imuniti dan meningkatkan antibodi peneutral individu dalam melawan jangkitan virus dari Wuhan dan pelbagai varian yang wujud ketika ini.

Ini antara dapatan yang dibentangkan dalam webinar dianjurkan Pharmaniaga Bhd bertajuk "COVID-19 Booster Shots and Vaccination for Children: Moving forward with experiences from China, Chile and Indonesia" pada Rabu.

Data kajian yang dijalankan Chinese Academy of Sciences, Peking University dan Sinovac Biotech turut menunjukkan dos ketiga membolehkan perlindungan vaksin lebih lama dan berterusan.

Pengarah Kanan Perniagaan Luar Negara, Sinovac Biotech Co Ltd China, Weining Meng berkata, dos penggalak yang diberikan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas menerima suntikan kedua berkesan dalam meningkatkan respons imuniti sekitar 140GMT (rata-rata titer geometrik).


Dos Penggalak mampu meningkatkan respons imuniti individu

“Bacaan GMT enam bulan selepas dos penggalak adalah lebih tinggi berbanding catatan tertinggi dos kedua.

"Kajian turut menunjukkan antibodi berterusan yang tinggi dalam tempoh enam bulan selepas suntikan dos ketiga berbanding suntikan kedua.

“Ia turut membuktikan perlindungan lebih lama daripada dijangkiti virus COVID-19 dan pelbagai varian baharu yang muncul,” katanya ketika menjadi salah seorang panel dalam webinar tersebut.

Sehingga kini, Sinovac Biotech Co Ltd telah membekalkan lebih daripada 2 bilion dos CoronaVac ke seluruh dunia.

Lebih 810 juta dos disalurkan ke negara-negara luar China pada 12 Oktober lalu, manakala lebih 1.2 bilion dos bagi kegunaan dalam negara (China).

Sementara itu, Pengarah Millennium Institute of Immunology and Immunotheraphy, Chile, Prof Dr Alexis M Kalergis berkata, vaksin keluaran Sinovac terbukti selamat dan berkesan kepada rakyat Chile.

Beliau turut senada bahawa dos penggalak adalah selamat dan menunjukkan peningkatan signifikan kepada antibodi peneutral terhadap kesihatan golongan dewasa.

“Keberkesanan dos penggalak adalah tinggi bagi vaksin Sinovac.

"Kesihatan masyarakat Chile juga mempunyai kesesuaian dengan vaksin ini, yang mana ia turut menggunakan teknologi yang terbukti berkesan dalam platform virus ternyahaktif bagi penyakit sebelum ini seperti vaksin polio.

“Tidak ragu lagi vaksin lain yang mereka hasilkan mempunyai kredibiliti sama, bagaimanapun faktor utama adalah data yang lebih komprehensif dibuktikan berhubung respons imuniti menerusi Sinovac,” katanya pada sesi webinar itu.