BANGKOK: Seorang perintis dalam pengimejan molekul dan nuklear terkemuka dunia, Professor Dr Abass Alavi dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Puteri Chulabhorn.

Dr Alavi yang dilahirkan di Iran dan merupakan seorang saintis dan pakar perubatan di Amerika Syarikat, merupakan seorang pakar dalam bidang pengimejan molekul, terutamanya tomografi pelepasan positron (PET), memainkan peranan penting dalam pembangunan fludeoxyglucose (FDG), pengimejan PET untuk radiofarmaseutik pertama diluluskan secara klinikal yang masih digunakan secara meluas sehingga hari ini.

Puteri Chulabhorn Krom Phra Srisavangavadhana, adinda bongsu Raja Maha Vajiralongkorn, akan mengetuai istiadat pengurniaan Anugerah Puteri Chulabhorn 2023 di Dewan Konvensyen Institut Penyelidikan Chulabhorn pada 14 Julai.

Dr Alavi yang merupakan seorang Pensyarah Radiologi di Hospital University of Pennsylvania dan Pengarah Bersekutu di Institut Penuaan di Fakulti Perubatan Perelman University of Pennsylvania akan menerima sebuah perisai, sijil dan US$50,000 sebagai hadiah.

Presiden Yayasan Anugerah Puteri Chulabhorn Profesor Klinikal Emeritus Udom Kachintorn berkata Dr Alavi dipilih untuk menerima anugerah itu kerana beliau merupakan individu pertama untuk menguruskan "18 F-FDG " terhadap subjek manusia pada 1976 dan melakukan tomografi otak menggunakan mesin tomografi pelepasan foton-tunggal buatan sendiri.

Beliau juga berkata Dr Alavi juga memperkenalkan 18F-FDG-PET untuk pengimejan kanser, jangkitan, keradangan, aterosklerosis, pengesanan darah beku dan masalah otot.

"Hari ini, pengimejan PET terus berkembang sebagai satu modus penyiasatan penting untuk pelbagai penyakit, terutamanya kanser dan masalah neorologi. Banyak usaha dilaksanakan dalam pembangunan radioisotop yang selamat untuk pengimejan PET dan pembangunan perisian dan perkakasan daripada pengimbas planar kepada PET-CT (tomografi komputer) dan baru-baru ini PET-MRI (pengimejan resonan magnet).

"Teknik yang boleh didapati secara meluas ini telah terbukti amat berkesan dalam pengesanan dan pemantauan penyakit. Sebagai penghargaan atas sumbangan beliau, Dr Alavi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Puteri Chulabhorn," kata beliau kepada Bernama.

Digelar sebagai "Bapa Perubatan Nuklear", penyelidikan Dr Alavi dalam PET diteruskan kerana beliau komited untuk meneroka dan membangunkan kaedah yang lebih berkesan dengan menggunakan PET dalam penjagaan kesihatan moden.

Dengan lebih 1,500 hasil penulisan diterbitkan dan lebih 75,000 pemetikan, usaha beliau sememangnya meninggalkan kesan dalam bidang ini.

Dr Alavi kini berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Penyelidikan di Jabatan Radiologi dan Pengarah Bersekutu Pusat Kajian Penuaan University of Pennsylvania.

Yayasan Anugerah Puteri Chulabhorn di bawah naungan Puteri Chulabhorn Krom Phra Srisavangavadhana, ialah sebuah yayasan persendirian yang ditubuhkan, berpiagam dan didaftarkan di bawah undang-undang Thailand.

Objektif utamanya ialah bagi mengurniakan anugerah antarabangsa itu kepada penyelidik individu atau saintis dalam bidang rawatan, penjagaan dan kawalan kanser untuk manfaat dan kesejahteraan kepada manusia.

-- BERNAMA