SHAH ALAM: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh supaya berhenti memainkan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ sebagai modal politik.

Beliau berkata, Dr Muhamad Akmal sepatutnya menghayati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kerana tindakan agresifnya itu telah mengundang sikap ekstemis sesetengah individu sehingga berlaku insiden bom petrol dibaling ke dalam premis berkenaan.

“Ya, tindakan KK Mart telah menggores hati umat Islam, mereka telah melakukan permohonan maaf secara rasmi dan menjelaskan apa yang berlaku.

“Dalam masa sama, pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan bersama isterinya Loh Siew Mui telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Sultan Ibrahim bertitah bahawa semua pihak perlu berhenti mengambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ kerana perkara tersebut sudah dalam proses perundangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Seri Paduka Baginda sebelum ini berkenan menerima menghadap Kee Kan di Istana Negara dalam satu sesi pertemuan selama 15 minit.

Kee Kan yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart memohon ampun dan maaf kepada Sultan Ibrahim serta seluruh umat Islam berhubung penjualan stoking tersebut di beberapa cawangan kedai miliknya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi memaklumkan, tindakan Dr Muhamad Akmal yang menggunakan isu berkenaan secara berterusan tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa.

Bahkan menurut ahli Parlimen Setiawangsa itu, pimpinan UMNO juga telah meminta untuk berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu terbabit.

“Nasihat saya kepada Akmal, keinginan memperkenalkan diri ke medan politik dengan isu seperti ini tidak akan bertahan lama, carilah isu yang kritikal dan menguntungkan rakyat.

“Islam adalah agama yang menjunjung keadilan, namun turut menekankan sikap rahmah. Menggunakan sentimen agama untuk membakar nafsu amarah dan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat tidak menguntungkan sesiapa.

“Sebagai pemimpin, kita tak boleh berterusan menghasut rakyat tetapi apabila berlaku insiden tidak diingini, kita cuba pula ‘cuci tangan’ tanpa rasa tawadduk dan kesediaan bermuhasabah,” ujar beliau. - Sinar Harian