Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anis Yusal Yusoff dilantik sebagai Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) yang baharu.

Perlantikan beliau bagi menggantikan Datuk Dr Mohd Tap Salleh yang akan bersara 30 November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, pelantikan Dr Anis telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Akan ada perubahan kepimpinan di IIM sebaik sahaja tamat tempoh perkhidmatan Presiden sekarang. Datuk Dr Mohd Tap telah memberi sumbangan yang baik bagi IIM dan masyarakat.

"Dalam masa yang sama, kita telah kenal pasti calon yang baharu untuk jawatan Presiden iaitu Dr Anis Yusal Yusoff. Saya mengumumkan pelantikan Dr Anis Yusal sebagai Presiden IIM yang baharu. Perdana Menteri telah meluluskan pelantikan ini," kata beliau ketika berucap pada Majlis Pembentangan Hala Tuju Fasa III Pelan Integriti Nasional 2014-2014 di IIM di sini pada Khamis.

Dr Anis Yusal, bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pada Rabu telah diumumkan sebagai salah seorang ahli Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Yaacob Md Sam.

Beliau juga merupakan bekas Pengarah Sektor Politik IIM dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Wakil Residen (Assistant Resident Representative), Pejabat United Nations Development Programme (UNDP) di Malaysia dan Pakar Program United Nations Volunteers di Bonn, Jerman selama 10 tahun.

Dalam pada itu, Dr Anis Yusal ketika dihubungi berkata, beliau belum menerima surat pelantikan rasmi mengenai jawatan baharu itu.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan Naib Canselor saya mengenai pelantikan baharu ini. Saya juga mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diletakkan oleh kerajaan khususnya Perdana Menteri," katanya.

Dr Anis Yusal menambah, beliau akan sedaya upaya akan memenuhi amanah yang diberikan demi mencapai misi IIM kelak.

IIM ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti National pada tahun 2004.

Objektif utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat.

Paul Low dalam ucapannya juga berkata, rakyat menginginkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan berintegriti, dan kehendak ini hanya akan tercapai apabila kesemua tanggungjawab dilaksanakan oleh setiap ahli dalam masyarakat dengan penuh rasa kejujuran dan ketelusan, disemarakkan lagi dengan kebijaksanaan dan keprihatinan terhadap rakyat.

"Bagi mencapai perjuangan dalam Merakyatkan Agenda Integriti ini, kita hendaklah bersama terus berganding bahu membantu negara dalam usaha melahirkan masyarakat bermoral dengan rakyatnya yang berpegang teguh kepada nilai-nilai agama dan kerohanian serta mengamalkan sepenuhnya standard etika yang tinggi.

"Adalah menjadi harapan saya agar perjuangan ini akan mencapai objektifnya dan segala resolusi yang dihasilkan akan dapat dilaksanakan dengan jayanya," kata beliau.