Polis sedang menjejaki pemilik van yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kes pembunuhan Dr Fadi Mohammed Al-Batsh untuk melarikan diri ke negara jiran.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek menaiki van tersebut yang menunggu tidak jauh dari lokasi mereka meninggalkan motosikal yang diguna untuk melarikan diri selepas menembak pensyarah dan imam warga Palestin berkenaan.

Bercakap pada sidang media selepas membuat pengundian awal di Bukit Aman, di sini pada Sabtu, Mohamad Fuzi berkata polis juga telah menemui senjata yang digunakan oleh suspek dalam kes itu.

"Secara kasarnya polis telah mengenal pasti senjata suspek tetapi saya tidak boleh mendedahkan kerana sedang menunggu laporan," katanya.

Beliau turut mengesahkan kedua-dua suspek menggunakan pasport palsu dari Serbia dan Montenegro untuk memasuki negara ini.

"Mereka juga dipercayai memiliki sejumlah lagi pasport negara lain," katanya.

Dalam kejadian 6 pagi 21 April lalu, Fadi, seorang pensyarah kejuruteraan elektrik, ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak, semasa berjalan ke surau untuk solat subuh.

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.

-- BERNAMA