KUALA LUMPUR:Khamis 26 November merupakan satu lagi tarikh yang dinantikan oleh ramai pemerhati politik negara memandangkan pada hari tersebut, Belanjawan 2021 akan diputuskan sama ada lulus atau ditolak.

Sekiranya ditolak, apakah kesannya kepada pentadbiran negara dan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan belanjawan pertama kerajaannya tidak diterima.

Selain itu, mata juga tertumpu kepada peranan ahli-ahli parlimen pembangkang sama ada akan bertindak menyokong Belanjawan 2021 atau sebaliknya.

Antara yang menjadi tumpuan ialah sikap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti baharu yang diasaskannya iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ramai yang menantikan adakah Pejuang akan menolak, menyokong atau mungkin mengambil sikap berkecuali ketika pengundian Belanjawan 2021 Khamis ini.

Malam ini, Astro AWANI akan menyiarkan temu bual 'Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad' yang tentunya akan menyentuh Belanjawan 2021 dan sokongan Pejuang terhadap belanjawan kerajaan Perikatan Nasional itu.

Dalam temu bual yang dikendalikan oleh Nazri Kahar berkenaan, Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyentuh apakah yang akan berlaku sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Dr Mahathir turut mengulas tentang kerajaan Perikatan Nasional serta hubungan beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat masih tidak sehaluan selepas peristiwa 1998.

Beliau juga menyentuh tentang kerajaan perpaduan dan hubungannya dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah berseteru dengannya ketika merebut jawatan Presiden UMNO pada 1987.

Dalam temu bual itu, Dr Mahathir akan menjawab teka-teki sama ada beliau akan menyertai PN atau terus menentang kerajaan ini.

Dr Mahathir turut menyentuh isu-isu antarabangasa antaranya tentang kekejaman zionis di bumi Palestin, kemenangan Joe Biden, hubungan dengan negara ASEAN dan perihal Rohingya.

Semuanya dalam temu bual eksklusif di Astro AWANI pukul 9 malam nanti.