KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah dilantik sebagai Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN) yang baharu, berkuat kuasa 1 Dis lepas.

IJN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Dr Noor Hisham merupakan episod menarik kepada IJN berikutan pengalaman luas beliau dalam sektor penjagaan kesihatan terutama peranan dalam menerajui kepimpinan tertinggi sepanjang kariernya.

IJN percaya pengalaman luas dimiliki pengerusi baharu itu dalam sektor penjagaan kesihatan akan menjadi aset bagi kejayaan berterusan IJN, ditambah dengan kemahiran beliau dalam tadbir urus dan pengurusan serta komitmen terhadap penjagaan pesakit.

"Tahniah saya ucapkan kepada Dr Noor Hisham atas jawatan baharu beliau bersama kami di IJN. Saya yakin padangan jauh beliau akan membantu memacu IJN ke tahap lebih tinggi," kata Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim menerusi kenyataan itu.

Dr Noor Hisham menggantikan Datuk Dr Abdul Rozali A Wathooth yang telah menjadi Pengerusi IJN sejak 29 Nov 2019 dan sebagai Lembaga Pengarah sejak 6 Feb 2006.

"Bagi pihak IJN, saya juga ucapkan terima kasih kepada Dr Abdul Rozali atas sumbangannya sekian lama. Jasa beliau yang akan terus menjadi inspirasi kepada kami pada masa depan," kata Aizai Azan

Menurut kenyataan itu, IJN akan kekal fokus dalam meningkat kebajikan pesakitnya dan menerima baik inovasi terutama di tengah-tengah landskap penjagaan kesihatan yang sentiasa berkembang.

-- BERNAMA