KUALA LUMPUR: Pakar Kawalan Penyakit Berjangkit Dr Rose Nani Mudin akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah berkuat kuasa 13 Julai 2021.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah (Penyakit Berjangkit) Bahagian Kawalan Penyakit menggantikan Datuk Dr Christina Rundi.

Dr Christina sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Kesihatan Sabah sejak November 2012.

Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Dr Rose Nani merupakan mempunyai pengalaman luas dalam Kesihatan Awam dan klinikal.

"Beliau merupakan seorang Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam yang berpengalaman luas di dalam bidang kesihatan awam dan klinikal.

"Selamat menjalankan tugas dan amanah. Semoga kecemerlangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dapat diteruskan," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Dr Rose Nani mempunyai kepakaran di dalam bidang epidemiologi dan penyakit bawaan vektor selain pernah bertugas sebagai Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan.

Dr Rose Nani yang merupakan anak jati Sabah itu pernah bertugas di Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Besar Kesihatan Sungai Koyan, Raub, Pahang.