Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal selamat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini.

Beliau, yang turut menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, 9.30 pagi tadi.

Menurut kenyataan Pejabat Media Rasmi Istana, turut menyaksikan istiadat itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, serta menantu Sultan Johor, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Dr Sahruddin, 43 tahun, menggantikan Datuk Osman Sapian yang telah diperkenankan peletakan jawatannya oleh Sultan semalam.




Pada Pilihanaya Umum ke 14 (PRU 14), Dr. Sahruddin memenangi kerusi DUN Bukit Kepong dengan majoriti 1,273 undi.

Beliau memperoleh 11,665 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Noor Taib dan Muhammad Nur Iqbal dari PAS.


Dilahirkan di Muar, Dr. Sahruddin merupakan doktor perubatan lulusan Sarjana Perubatan dari Universiti Hasanuddin, Makassar, Indonesia.

Berkahwin dengan Dr Nila Armila Mukdan, pasangan ini dikurniakan dengan tiga orang anak perempuan.

Sebelum menceburi bidang politik, beliau membuka kliniknya sendiri iaitu Klinik Dr Sahruddin di Bukit Pasir, Pagoh.


Ketika kejadian pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu, Dr Sahruddin antara individu yang memainkan peranan proaktif dalam gerak kerja pengurusan keadaan bencana pada ketika itu.

BACA: Mana MB Johor di pemukiman pemimpin Malaysia dan Singapura?

Kehadiran beliau sebegai wakil rasmi Menteri Besar pada Pemukiman Pemimpin Malaysia dan Singapura 9 April lalu menguatkan spekualasi beliau menggantikan Datuk Osman Sapian.

Anak kelahiran Muar ini merupakan Menteri Besar Johor ke 17.