awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Mesyuarat JPT-PPIP fokus perkasa pembangunan industri tuna negara - Ahmad Zahid
RUU Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia dijangka dibentang di Parlimen Jun ini
Kementerian Digital tumpu enam bidang pacu transformasi digital - Gobind
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Dr Tee E Siong terima anugerah Tokoh Warga Emas

Bernama
Bernama
06/10/2025
04:40 MYT
Dr Tee E Siong terima anugerah Tokoh Warga Emas
Nancy Shukri (dua dari kanan) menyampaikan anugerah Tokoh Warga Emas kepada Dr Tee E Siong (dua dari kanan) di sebuah hotel malam ini. Turut hadir timbalannya Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Che Murad. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Pakar Runding Pemakanan sebuah syarikat konsultasi, Dr Tee E Siong dinobatkan sebagai Tokoh Warga Emas sempena sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2025 di sini malam tadi.
Tee, 78, yang pernah memegang jawatan sebagai pegawai pemakanan di Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan (KKM), menerima anugerah tersebut atas penglibatan berterusan dalam kerja kebajikan dan sumbangan cemerlang di peringkat komuniti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau bergiat aktif termasuk dalam Persatuan Pemakanan Malaysia, Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu dan Persatuan Kesedaran Kesihatan Warga Emas Malaysia sekali gus mencerminkan komitmen tinggi dalam bidang pemakanan sama ada di peringkat dasar, komuniti dan kesedaran awam secara sukarela.
Anak jati Seremban itu turut mengetuai pelbagai program untuk wanita, kanak-kanak dan masyarakat termasuk Program Penuaan Sihat Positif yang dilancarkan pada 2022 bertujuan berkongsi pengetahuan tentang gaya hidup sihat supaya terus dapat menyumbang kepada keluarga dan negara.
Anugerah Tokoh Warga Emas itu disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang turut merasmikan penutupan sambutan tersebut.
Turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Tee yang ditemui pemberita selepas majlisitu menzahirkan kesyukuran atas pengiktirafan tersebut dan berharap ia menjadi inspirasi kepada warga emas lain untuk terus aktif serta memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
"Dalam apa juga bidang termasuk kesihatan, warga emas perlu terus menyumbang kepada masyarakat dan negara. Walaupun sudah berusia kita masih boleh berperanan, jangan hanya duduk diam di rumah. Menjaga kesihatan juga penting agar kita kekal aktif walaupun sudah tua," katanya.
Terdahulu, Nancy dalam ucapannya berkata tema Hari Warga Emas tahun ini iaitu "Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita" adalah untuk mengingatkan bahawa warga emas bukan sahaja dikenang kerana sumbangan masa lepas tetapi juga dihormati kerana peranan mereka hari ini dan inspirasi untuk generasi akan datang.
Beliau berkata, sambutan Hari Warga Emas itu juga membawa mesej jelas bahawa golongan berkenaan adalah wajah masa depan semua, justeru berharap budaya menghormati yang tua dan menyayangi golongan muda terus dijadikan pegangan.
Dalam majlis anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat itu, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Elopura, Sandakan, Sabah menerima Anugerah PAWE Cemerlang atas penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawanan serta usaha berterusan memperkasa kesejahteraan warga emas membabitkan pelbagai bangsa atau etnik.
Selain itu, tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya, Selangor; Majlis Perbandaran Kulim, Kedah dan Majlis Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan menerima sijil penghargaan Prihatin Warga Emas kategori PBT.
Bagi kategori badan berkanun dan korporat pula, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Mydin Mohamed Holdings Berhad serta 99 Speedmart Sdn Bhd menerima sijil penghargaan atas komitmen melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk melalui program tanggungjawab sosial korporat.
Sempena sambutan Hari Warga Emas tahun ini, turut diadakan Karnival Warga Emas selama dua hari hingga semalam di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan dengan penyertaan lebih 3,000 peserta termasuk ahli PAWE seluruh negara.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Dr Tee E Siong
#Tokoh Warga Emas
#hari warga emas
#Warga Emas Wajah Masa Depan Kita
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan