SANDAKAN: Polis Keselamatan menggagalkan cubaan kumpulan militan Abu Sayyaf untuk melakukan penculikan untuk tebusan ke atas pemilik ladang kelapa sawit di sekitar Sandakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, rancangan itu digagalkan selepas didedahkan oleh seorang ketua kumpulan kecil Abu Sayyaf, Sansibar Bencio yang ditahan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei lalu ketika siasatan dilakukan.

Menurutnya, dua anggota militan yang maut dikenali sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan berumur antara 30 dan 40 tahun, ditembak mati kira-kira 5 pagi dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di ladang berkenaan.

"Hasil soasat siasat ke atas Bencio, dia mendedahkan bahawa kumpulan yang berada di Pulau Timbang, Sandakan merancang untuk melakukan penculikanke atas pemilik-pemilik ladang di kawasan itu.

"Kita difahamkan dua pemilik ladang kelapa sawit berketurunan Cina yang tinggal di Sandakan dan Sukau menjadi sasaran kumpulan ini untuk mendapatkan wang tebusan.

Terdahulu, Hazani menambah, pihaknya telah menjalankan operasi bersepadu dan menyerbu ladang terbabit pada Rabu.

Susulan itu, 11 lelaki ditahan yang mana tujuh daripada mereka disahkan oleh pihak berkuasa Filipina sebagai anggota Abu Sayyaf.

"Bagaimanapun operasi memburu mereka diteruskan pada semalam (19 Ogos) susulan tindakan beberapa lelaki yang melarikan diri pada serbuan pertama," katanya.

Selain itu, Hazani tidak menolak kemungkinan terdapat saki baki kumpulan kecil militan tersebut masih bersembunyi di Sabah.

"Ada di antara mereka yang percaya Sabah adalah tempat perlindungan selamat untuk mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

"Saya ingin menegaskan bahawa Sabah bukan 'Safe Haven' untuk Abu Sayyaf. Kita akan terus memburu mereka yang masih berada di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hazani turut mengingatkan majikan dan pemilik ladang kelapa sawit serta pengurus pembinaan untuk memastikan pekerja mereka mempunyai  dokumen sah.