KUANTAN: Dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas satu pertuduhan bertindak secara cuai dan menganiayai dua kanak-kanak di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska).
Norlida Abdul Razak, 39, dan Zairifah Zainal Abidin, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan.
Norlida didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun tujuh bulan, telah bertindak secara cuai sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan emosi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taska di Taman Cenderawasih Indah di sini pada 4.30 petang 15 Mei.
Zairifah pula didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun lapan bulan, telah menganiaya mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di taska sama pada 2.30 petang 11 Ogos.
Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Izzati Wan Mohamad Zahari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh, manakala peguam Mohd Rusnizam Abdullah yang mewakili kedua-dua wanita itu memohon jaminan rendah.
Hakim Harmi Thamri Mohamad membenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh, beserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta saksi dan menetapkan 26 Okt untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video kanak-kanak disyaki dikasari petugas sebuah taska dan kejadian itu mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.
-- BERNAMA