Dua beradik maut manakala dua lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kampung Bintang, Simpang Kampung Bahagia, Setiu pada kira-kira jam 3.03 petang Ahad.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta Amirah Faqihah Azman, 18 tahun dan adiknya Aishah Asmaa Azman, 14 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian itu menyebabkan penumpang hadapan Aidil Wajdi Azman, 17 tahun dan Arif Muzammil Azman, 16 tahun mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian, treler yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah Kota Bharu menghala ke Kuantan.

Sejurus tiba ditempat kejadian kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki empat beradik itu dikatakan telah keluar simpang secara tiba-tiba.

Susulan itu pemandu treler berkenaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar pada sisi kanan kereta berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya mayat kedua mangsa dibawa ke unit forensik hospital setiu untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital yang sama.

Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.