SEREMBAN: Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlanggar bahagian belakang sebuah lori di KM257.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata Mohd Husaini Amir Harun, 29, dan adiknya Muhammad Amirul Syafiq Harun, 25, yang beralamat di Kampung Pengkalan Batu, Kuala Terenganu maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dalam kejadian pada pukul 7.05 pagi itu.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa sebuah lori jenis Hino membawa muatan makanan haiwan yang dipandu seorang lelaki berumur 49 tahun sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya dari arah Pulau Pinang menuju ke Melaka.

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang dua beradik dari arah lorong kecemasan itu mengubah haluan dan masuk ke lorong kiri sebelum melanggar bahagian belakang lori berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dua beradik itu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Nanda berkata kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA