SHAH ALAM: Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi permohonan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lepas.
Chong Foo Yon, 75, selaku pemilik sebuah syarikat pembungkusan plastik dan anaknya, Chong Kok Woo, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasri Nordin.
Mengikut pertuduhan, Foo Yon didakwa mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikatnya kepada ejen PERKESO bagi permohonan insentif berkenaan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, pada 2 Nov 2024.
Dokumen itu didakwa mengandungi pernyataan palsu mengenai butiran matan yang mempunyai kepentingan kepada prinsipal dengan niat mengelirukan prinsipal.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran matan palsu itu, jika dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Kok Woo pula, didakwa bersubahat dengan bapanya melakukan kesalahan sama di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta berkenaan.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang pengarah syarikat konsultasi dan latihan pembangunan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi permohonan insentif sama pada Mac 2024.
Mengikut pertuduhan, K Kumaaravelu, 39, didakwa mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi pernyataan palsu bagi permohonan insentif itu di premis syarikatnya di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 14, 15 dan 24 Mac 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Kumaaravelu bersama seorang lagi pengarah syarikat, N S Sivakumar, 54, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi permohonan insentif sama membabitkan sebuah syarikat kerja pendawaian dan telekomunikasi di Pandamaran, Pelabuhan Klang pada 28 April 2024.
Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi semua tertuduh kecuali Kumaaravelu yang dicadangkan diikat jamin RM25,000, selain syarat tambahan.
Mahkamah kemudian membenarkan dua beranak itu dan Sivakumar diikat jamin RM10,000 setiap seorang, manakala Kumaaravelu RM20,000, masing-masing dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, sebelum menetapkan 29 Okt untuk sebutan semula kes.
Dua beranak itu diwakili peguam L Y Yong, manakala Kumaaravelu dan Sivakumar diwakili peguam P Vishnuvarman.
-- BERNAMA