SEMPORNA: Dua kanak-kanak termasuk bayi maut manakala tiga lagi individu dewasa parah selepas terbabit dalam nahas di Kilometer 24 Jalan Semporna-Tawau pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan bayi lelaki berusia tiga bulan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan itu melibatkan dua kenderaan jenis Proton Saga dan juga pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Katanya, Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dari arah Tawau ke Pekan Semporna dan manakala sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan.

"Berlaku pelanggaran selepas Toyota Hilux masuk ke lorong Proton Saga dan menyebabkan pemandu Proton Saga dan penumpang dewasa parah manakala dua lagi kanak-kanak yang berada dalam kenderaan itu meninggal dunia.

"Pemandu Toyota Hilux juga cedera parah manakala seorang penumpang perempuan dewasa dan empat kanak-kanak tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 atau tidak lebih RM5,000 jika disabit kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna Inspektor A Hemkkumar di talian 012-3650021 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020," katanya. - Sinar Harian