KOTA TINGGI: Sektor pencarian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi remaja yang dikhuatiri lemas semalam, diperluas sehingga dua batu nautika dari barat laut Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar hari ini.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata operasi berkenaan yang memasuki hari kedua diaktifkan seawal 7 pagi tadi dengan penglibatan 41 anggota daripada pelbagai agensi.
Beliau berkata agensi itu antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain dibantu komuniti maritim tempatan.
Beliau berkata pelbagai aset turut digunakan bagi membantu operasi pencarian termasuk dua unit dron milik maritim dan JBPM yang berkemampuan untuk memantau sejauh 20 kilometer.
"Dua dron berkenaan diterbangkan dalam beberapa sesi bermula pagi tadi, dron akan diterbangkan sekali selepas waktu tengah hari nanti," katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd Najib berkata pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru juga dalam proses untuk memaklumkan perkembangan kes ini kepada pihak berkuasa jiran, sekiranya radius pencarian melepasi sempadan perairan.
Beliau berkata faktor air pasang dan surut dengan keadaan laut berombak juga menjadi cabaran operasi SAR.
"Pada pagi ini keadaan laut juga agak sedikit berombak dalam satu hingga 1.5 meter dan cuaca di sebelah petang mungkin tidak menentu," katanya.
Mohd Najib pada masa sama tidak menolak kemungkinan enam remaja lelaki berusia 16 tahun itu mandi-manda jauh dari kawasan pantai menyebabkan mereka dibawa arus laut.
Semalam, seorang daripada remaja berkenaan ditemukan lemas pada 1.25 tengah hari, sementara tiga lagi masih hilang.
Dua lagi rakan mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Bomba memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 8.19 pagi berhubung kejadian itu, dengan mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan 15 orang yang datang berkhemah di kawasan berkenaan sejak dua hari lepas.
--BERNAMA