KUALA LUMPUR: Jemaah yang membuat rayuan haji di luar giliran layak mendapat subsidi atau bantuan kewangan haji sekiranya memenuhi dua syarat pengecualian bayaran penuh ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, TH menetapkan dua syarat pengecualian bayaran penuh bagi mereka yang membuat rayuan, iaitu mahram dan pengiring kepada jemaah haji yang mendapat giliran tahun ini.

"Secara umumnya mereka yang  membuat rayuan dikenakan bayaran RM30,850. Walau bagaimanapun, mereka yang termasuk dalam pengecualian iaitu pertama, mahram kepada mereka yang dapat giliran tersebut.

"Contohnya jika suami mendapat giliran tetapi isteri tertinggal. Kalau dia buat rayuan dan suaminya dalam golongan B40, maka isteri itu akan mendapat kelayakan subsidi atau bantuan kewangan haji.

"Kedua, mereka yang buat rayuan itu menjadi pengiring. Contohnya jemaah yang mendapat giliran haji sudah tua dan uzur kesihatannya dan perlukan pengiring, maka pengiring itu akan mendapat bantuan kewangan haji," ujarnya.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang bertanya sama ada kerajaan akan memberi kelonggaran kepada individu golongan B40 yang membuat rayuan haji terutamanya mereka yang berumur 60 tahun ke atas supaya tidak perlu membuat bayaran penuh berjumlah RM30,850.

Jelas beliau, TH akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan Abdul Latif berdasarkan keperluan semasa.

Mengenai penetapan kriteria jemaah haji B40, M40 dan T20 pula, Mohd Na'im berkata  TH bekerjasama dengan kerajaan bagi membuat semakan silang berhubung maklumat pendapatan bakal haji menerusi pangkalan data sedia ada.

TH juga ujarnya, mengenal pasti jemaah kumpulan B40 dan M40 berdasarkan senarai penerima Sumbangan Tunai Rahmah daripada kerajaan.

Sementara, jemaah kumpulan T20 dikenal pasti berdasarkan pendapatan individu bulanan melebihi RM15,000 dan bukan berasaskan pendapatan isi rumah.