KUALA LUMPUR: Selepas ditangguh dua kali, Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 pada Khamis sekali lagi ditangguh, kali ini pada pukul 5.15 petang pula.

Penangguhan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon sebentar tadi.

Dalam kenyataannya, beliau memaklumkan terdapat dua lagi kes positif COVID-19 dikesan di bangunan Parlimen dan penangguhan dibuat bagi membolehkan semua orang di bangunan itu menjalani saringan COVID-19.

“Yang Dipertua Dewan Rakyat telah menerima surat pemakluman daripada Ketua Pengarah Kesihatan…."

Belum pun sempat beliau menghabiskan kenyataan, keadaan sedikit kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen mula mempertikaikan kenyataan itu.

Beliau kemudiannya menyambung:

“Pemaklumannya berbunyi begini. Dukacita dimaklumkan pada 29 Julai jam 12 tengah hari, dikesan dua kes COVID-19 kepada individu yang telah hadir ke Parlimen.

“Kes pertama ialah seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu dengan nilai kitaran ambang CT Value 18.7, high viral load, bawah daripada 20.

“Kes kedua dikesan positif pada Khamis, 29 Julai 2021 semasa saringan di Parlimen guna ujian kendiri RTK Antigen Saliva. Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal mendapati kedua-dua kes tersbeut dikhuatiri berada di sekitar lokasi Parlimen pada waktu tersebut.

“Justeru, dipohon saringan ujian diadakan kepada semua yang hadir di Parlimen termasuk semua Ahli Parlimen, pegawai, warga Parlimen dan pekerja.

“Tiada sesiapa dibenarkan keluar daripada kompleks Parlimen sehingga keputusan diperoleh. Ujian saringan akan dilakukan di Pintu 3 Blok Utama yang mula beroperasi, dah beroperasi semalam pun.

Keutamaan diberikan kepada Ahli Parlimen. Mesyuarat ditempohkan (ditangguhkan) sehingga jam 5.15 petang, Peraturan Mesyuarat 12 (2),” katanya.

Kenyataan itu mencetuskan ketegangan di dalam dewan, namun Mohd Rashid terus beredar dan mikrofon juga disenyapkan terus hanya beberapa saat selepas pengumuman dibuat.