Pengasuh mengaku salah aniaya dua bayi di taska

Seorang pengasuh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap dua bayi di sebuah taska pada Disember tahun lepas. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap dua bayi di sebuah taska pada Disember tahun lepas.
Perada Randai, 27, berasal dari Sibu, Sarawak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron dan Noridah Adam dalam prosiding berasingan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang bayi perempuan berumur sembilan bulan telah melakukan penganiayaan dengan cara menampar pipi dan mengetuk kepala bayi terbabit, iaitu perbuatan yang boleh menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang bayi lelaki berumur enam bulan dengan cara menutup muka mangsa dengan bantal dan memaksa mangsa minum susu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah taska di Kampung Baru Salak Selatan di sini, antara 8 pagi hingga 6 petang, pada 15 Dis lepas dan dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 16 Jan ini untuk pihak pendakwaan mengemukakan fakta kes serta hukuman.
Sementara itu, seorang warga Indonesia yang juga bekerja sebagai pengasuh Yella Prissillia, 29, mengaku bersalah melakukan perbuatan serupa dengan mencubit kaki bayi lelaki sama, menutup muka mangsa dengan menggunakan bantal selain memaksanya minum susu.
Bagaimanapun, wanita itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap bayi lelaki lain berumur empat bulan dengan menghenjut kerusi goyang bayi dengan kuat.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi serta tarikh sama dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman serupa.
Hakim Noridah tidak membenarkan Yella diikat jamin kerana dia merupakan warga asing dan tidak mempunyai dokumen sah selain menetapkan 13 Feb ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Seorang lagi pengasuh tempatan, Stephanie Agus, 19, pula mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan serupa terhadap bayi lelaki berumur enam bulan itu dengan cara membedung mangsa dan membiarkannya minum susu tanpa pemantauan di lokasi dan tarikh sama, yang didakwa mengikut seksyen sama.
Hakim Suhaila membenarkan Stephanie diikat jamin RM8,000 dan 16 Feb sebagai tarikh sebutan kes.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin, Adiba Iman Hassan dan Vivien Yeap Jie Xi manakala peguam Mohd Ridzuan Sihat mewakili Perada.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa trauma selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial memaparkan anaknya berusia enam bulan dicampak, digolek dan ditampar pengasuh di taska terbabit.
Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai serta kebimbangan ibu bapa lain selain terdapat dakwaan beberapa bayi turut menjadi mangsa di situ.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


