Kerajaan Negeri Selangor putuskan ternakan babi berpusat di Bukit Tagar

Langkah itu bagi memastikan industri ternakan babi diurus secara lebih bersih, tersusun dan moden. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor sebagai langkah strategik jangka panjang penstrukturan semula industri itu bermula 2030.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor bermula 2030 untuk memastikan industri lebih bersih, tersusun, dan tidak menjejaskan alam sekitar serta keharmonian masyarakat setempat.
- Langkah ini diambil untuk menjamin keselamatan makanan kepada komuniti bukan Islam serta mengurus industri ternakan babi dengan baik bagi memastikan bekalan makanan, kebersihan, keharmonian masyarakat serta kawalan risiko penyakit.
- Projek di Bukit Tagar akan menggunakan sistem penternakan tertutup dan konsep 'zero discharge' melalui teknologi kitar semula sisa kumbahan kepada biogas dan tenaga elektrik, sementara penternak sedia ada di Tanjung Sepat akan beroperasi di lokasi masing-masing selama tiga tahun sebelum dipindahkan.
"Kita mahu memastikan industri ini diurus dengan baik bagi menjamin bekalan makanan, kebersihan, keharmonian masyarakat serta kawalan risiko penyakit," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata industri ternakan babi di Selangor memerlukan model pengurusan yang lebih berpusat bagi membolehkan kawalan dan pemantauan dilaksanakan secara menyeluruh, namun pelaksanaannya memerlukan masa memandangkan ia melibatkan kesesuaian tanah, penggunaan teknologi dan pelaburan berskala besar.
Izham berkata Bukit Tagar dikenal pasti sebagai lokasi sesuai, melibatkan kawasan kira-kira 202 hektar termasuk zon penampan, dengan pelaksanaan sistem penternakan tertutup serta konsep sifar pelepasan.
"Projek ini akan menggunakan sistem penternakan tertutup bagi mengawal penularan penyakit, selain konsep 'zero discharge' menerusi teknologi kitar semula sisa kumbahan kepada biogas dan tenaga elektrik. Zon penampan turut diwujudkan bagi memastikan jarak selamat antara ladang dan kawasan awam.
"Sebahagian perancangan dan penyelarasan awal telah berjaya dicapai hasil perbincangan bersama jabatan serta jawatankuasa berkaitan," katanya.
Beliau berkata sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada di 112 ladang di Tanjung Sepat ketika ini, terus beroperasi di lokasi masing-masing untuk tempoh tiga tahun sebelum dipindahkan.
Beliau berkata sepanjang fasa peralihan itu, penternak tertakluk kepada syarat ketat, termasuk keperluan memperbaharui lesen penternakan setiap enam bulan.
"Bagi menjamin bekalan daging babi, kerajaan negeri turut membenarkan kemasukan kira-kira 2,000 ekor babi hidup dari Sarawak dan Perak sejak Julai lepas, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.
Beliau turut menegaskan semua penternak diwajibkan menaik taraf sistem kumbahan dalam tempoh tahun pertama fasa peralihan bagi menangani isu pencemaran bau dan air.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


