PUTRAJAYA: Penumpang KLIA Ekspres dan KLIA Transit dinasihatkan memperuntukkan masa perjalanan tambahan susulan gangguan perkhidmatan akibat dua kejadian kecurian kabel sistem isyarat di sepanjang laluan rel berkenaan.
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua kejadian yang dikesan malam tadi dan awal pagi ini menyebabkan kerja pemulihan mengambil masa lebih lama, sekali gus menjejaskan kelancaran operasi tren.
Menurut ERL, kejadian pertama membabitkan kecurian kira-kira 180 meter kabel sistem isyarat yang dikesan kira-kira 9 malam tadi di Kilometer (KM) 44, antara Stesen Putrajaya & Cyberjaya dan Stesen Salak Tinggi.
“Ketika kerja pemulihan sedang dijalankan, satu lagi kejadian vandalisme dikesan di KM42 pada 5.22 pagi ini, membabitkan kecurian kira-kira 80 meter kabel sistem isyarat,” menurut kenyataan itu.
ERL memaklumkan perkhidmatan tren kini kembali beroperasi secara gabungan dengan kekerapan setiap 20 minit bagi kedua-dua arah bermula 11.20 pagi.
“Pasukan teknikal kami sedang berusaha memulihkan sistem dengan selamat dan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.
Pada peringkat awal gangguan, ERL melaksanakan perkhidmatan ulang-alik yang memerlukan penumpang menuju ke KL Sentral atau Terminal 1 dan 2 KLIA bertukar tren di Stesen Putrajaya & Cyberjaya untuk meneruskan perjalanan.
-- BERNAMA