IPOH: Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mahu membina dua lagi pusat Unit Anjing (K9) di Perak bagi membantu operasi mengesan pelbagai kes seperti orang hilang, jenayah, dadah atau bahan letupan.

Buat masa ini, hanya Ipoh yang mempunyai pusat itu dengan menggunakan khidmat empat ekor anjing.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua lagi pusat yang dirancang itu ialah di Manjung dan Pengkalan Hulu.

"Kedua-dua tempat ini strategik memandangkan Manjung adalah pusat pelancongan, orang selalu pergi ke Pangkor dan sebagainya, maka kita perlukan unit anjing untuk bertindak segera jika ada sesuatu kejadian berlaku di daerah berkenaan.

"Dan Pengkalan Hulu kita pun tahu dia punya lokasi adalah di sempadan negara dan dia boleh memberi perkhidmatan kepada negeri bersempadan dan juga daerah-daerah yang berdekatan dengan Daerah Pengkalan," katanya.

Beliau ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak Bulan Jun 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada Selasa.

Terdahulu, dua ekor anjing pengesan Unit K9 menerima pingat Jasamu Dikenang sempena  perhimpunan itu.

Kedua-dua anjing jenis German Shepherd diberi nama Chulio dan Rocky itu menerima penghargaan di atas perkhidmatan cemerlang dan kejayaan mengesan dalam operasi mencari dan menyelamat orang hilang.

Pengendali kedua-dua ekor anjing itu turut diberikan surat penghargaan.

Chulio yang telah mengikuti lebih daripada 50 operasi menerima penghargaan di atas kejayaan mengesan mayat dalam operasi mencari dan menyelamat orang hilang di Tronoh pada 11 Mei lepas.

Rocky pula diberi penghargaan atas kecekapannya yang membawa kepada penemuan seorang pemandu e-hailing lelaki dalam keadaan lemah dan kelaparan di atas bukit berhampiran kawasan perkuburan orang asli di Ulu Geruntum, Gopeng tidak sampai dua jam operasi dijalankan pada Januari lepas.