RIBUAN warga Iran berhimpun untuk menyambut Hari Pembentukan Republik Islam ke-47 pada 1 April hari ini dalam suasana berisiko ketika menghadapi serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Di Dataran Enqelab, orang ramai mengibarkan bendera Iran sambil melaungkan slogan menentang intimidasi serta menyatakan sokongan terhadap tindakan balas ketenteraan ke atas kedua-dua negara.
Advertisement
Para peserta ketika ditemui media turut menyatakan rasa bangga ketika menghadiri sambutan tersebut sambil menafikan perasaan gentar terhadap sebarang ancaman luar.
“47 tahun lalu kami memilih Republik Islam, melihat kepada ancaman yang sedang dihadapi, kehadiran kami di sini amat penting. Demi negara dan bendera kami.
“Kami ikut nasihat pemimpin. Kami harus berada di sini demi darah para syuhada yang telah menjadi korban (serangan AS-Israel),” Fatimah (bukan nama sebenar).
“Mengapa kami harus berasa gentar? Saya tidak takut langsung. Nyawa kami tidak penting berbanding tanah air dan negara ini, kami tunjukkan solidariti dan kekuatan pada hari penting seperti hari ini,” kata Zainab (bukan nama sebenar).
Media rasmi kerajaan turut menyiarkan rakaman secara langsung di beberapa bandar menunjukkan peserta himpunan menyanyikan lagu kebangsaan Iran.
Sambutan tersebut bersempena pembentukan Republik Islam oleh gerakan rakyat yang dipimpin oleh almarhum Ayatollah Khomeini pada tahun 1979.
Revolusi 1979 telah menyebabkan kerajaan monarki, dipelopori oleh AS pimpinan Shah Iran iaitu Mohammad Reza Pahlavi, ditumbangkan oleh gerakan rakyat.
Peristiwa tersebut menyebabkan institusi diraja Iran melarikan diri ke AS, manakala penyokongnya bertebaran sebagai pelarian politik dan ekonomi di negara-negara lain.
Malah, industri komoditi utama seperti petroleum dan gas asli berserta infrastruktur teknologi negara turut diambil alih oleh Republik.
Dasar Iran yang tidak pro-AS dan enggan mengiktiraf Israel menyebabkan mereka mengalami sekatan ekonomi sejak penubuhan Republik.
Kemuncak seteru antara kedua-dua pihak berlaku apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, mengakibatkan pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei berserta pemimpin utama negara terkorban.
Kini Reza Pahlavi anak kepada Mohammad Reza berserta penyokongnya turut berkempen mendokong serangan AS-Israel terhadap Iran sambil mendesak agar kerajaan monarki dapat dibentuk semula.