KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 diturunkan 20 sen kepada RM4.95 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung pula naik 50 sen kepada RM6.02 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.
Advertisement
Selain itu, harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi dan RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kekal masing-masing pada paras RM3.87 seliter dan RM1.99 seliter.
Menurut kemeterian itu, bermula hari ini had kelayakan BUDI95 diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan, selain pelaksanaan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan.
Kerajaan turut mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 untuk April, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan RM300 bagi penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.
Menurut MOF, langkah itu bertujuan memastikan harga bahan api kekal mampu milik, melindungi kesejahteraan rakyat serta sektor terpilih, melalui subsidi bersasar dan telus.
“Kerajaan juga sedang mempertimbang langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus dan memanfaatkan rakyat, dengan mengambil kira perkembangan semasa krisis tenaga global serta implikasi terhadap pasaran,” menurut kenyataan itu.
--BERNAMA