MELAKA: Dua lelaki dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh di sini hari ini daripada tuduhan memiliki 137.797 kilogram (kg) pelbagai jenis racun, 2.061 kg heroin dan 5.39 liter kloroform lima tahun lepas.

Chua Shiau Boon, 48, dan Seow Book Boon, 45, kelihatan bersalaman antara satu dengan lain di kandang tertuduh selepas Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membacakan keputusan tersebut.

Mohd Radzi berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh apabila gagal memanggil saksi penting, Chan Eng Chin.

"Wujud kelompangan apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan Chan di mahkamah. Puntung rokok dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijumpai di dalam rumah tidak boleh mengaitkan tertuduh dengan milikan dadah kerana ada kesan cap jari individu lain.

"Justeru, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya selepas membacakan alasan penghakiman selama kira-kira 30 minit di akhir pendakwaan kes tersebut.

Chua dan Seow menghadapi lapan pertuduhan pindaan iaitu memiliki 134 kg kafein (tiga pertuduhan), 2.549 kg chloroquine (dua pertuduhan), 2.061 kg heroin, 1.248 kg nitrazepam dan 5.39 liter kloroform.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Tengkera di sini, kira-kira pukul 9.45 pagi pada 2 Okt 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Mereka juga dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka juga didakwa di bawah Seksyen 30(3) Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Chua diwakili peguam Tiu Leong Kim manakala Seow diwakili Andrew Lourdes.

-- BERNAMA