Skip to main content

Malaysia

KPDN Kedah serbu premis pakaian terpakai, temui 3,383 paket minyak masak subsidi

Muhammad Nizam (kiri) memeriksa minyak masak paket bersubsidi yang disembunyikan di sebuah premis pakaian terpakai di Kawasan Industri Ringan Kemuning, Sugai Petani, pada Isnin. - Gambar Astro AWANI
Muhammad Nizam (kiri) memeriksa minyak masak paket bersubsidi yang disembunyikan di sebuah premis pakaian terpakai di Kawasan Industri Ringan Kemuning, Sugai Petani, pada Isnin. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

SUNGAI PETANI: Tindakan seorang pemilik sebuah premis pakaian terpakai (bundle) menyembunyikan 3,383 minyak masak paket bersubsidi di dalam premisnya di Kawasan Industri Ringan Kemuning, di sini, terbongkar selepas premis itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah pada Isnin.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dilakukan hasil intipan sejak minggu lalu selepas mendapat makluman orang awam berkaitan penyalahgunaan barang bersubsidi itu.

"Semasa serbuan pada pukul 2 petang itu pihak kita terpaksa mengambil masa selama lebih empat jam menunggu sebelum pintu premis berkenaan dibuka oleh dua lelaki berumur 18 dan 26 tahun yang kemudiannya mengaku adik beradik dan anak kepada pemilik premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut pihak kita kemudiannya menemui 3,383 minyak masak paket bersubsidi yang bernilai RM8,457.50 yang disimpan di dua tempat berasingan di dalam premis itu," katanya ketika mengetuai operasi pada Isnin.

Kata Muhammad Nizam, semakan lanjut mendapati kedua-dua lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual itu.

Katanya, pihaknya kemudian menahan dua beradik berkenaan untuk dirakam keterangan bagi mendapat maklumat lanjut berkaitan berapa lama mereka telah terlibat dalam kegiatan itu, di mana minyak paket itu diperolehi dan ke mana minyak masak berkenaan diedar.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah dari Pengawal Bekalan.

"Jika sabit kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak lebih RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement