BUTTERWORTH: Dua lelaki yang mengendalikan syarikat pelaburan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, masing-masing atas 30 pertuduhan bagi kesalahan mengambil deposit dari orang awam tanpa lesen sah membabitkan kerugian RM750,000 sejak tiga tahun lalu.

Mohd Nasri Abdul Rahim, 36 dan Abdul Wahab S Mohd Mydin, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Noorhayati Mohamad Yunus.

Kedua-dua tertuduh yang mengendalikan syarikat Nar Trading Traders Sdn Bhd menjalankan kegiatan mengambil deposit dari orang ramai sejak April 2019 hingga Februari 2020.

Mohd Nasri Abdul Rahim, selaku Pengarah Syarikat Nar Trading Traders Sdn Bhd serta rakannya Abdul Wahab S Mohd Mydin, dituduh mengambil deposit dari tiga individu berjumlah antara RM9,000 hingga RM100,000.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Nasri dan Abdul Wahab pada 29 April 2019 dituduh mengambil deposit daripada Goh Anne berjumlah RM20,000 di Taman Alma Indah, Bukit Mertajam tanpa lesen sah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM50 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Bagaimanapun, Mohd Nasri mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan ketika ia dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fazliyana Ahmad manakala Mohd Nasri diwakili peguam S Raveentharan sementara Abdul Wahab diwakili peguam Mohd Shahrol Nizam Md Roni.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nadia Harun di hadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus.

Ketika prosiding, Abdul Wahab yang dituduh bersubahat dengan Mohd Nasri juga mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Raveentharan dan Mohd Shahrol Nizam memohon mahkamah mengenakan jaminan paling minimum terhadap Mohd Nasri dan Abdul Wahab berikutan anak guam mereka kini tiada punca pendapatan selain masalah kesihatan.

Mahkamah kemudian membuat keputusan jumlah keseluruhan jaminan yang dikenakan ke atas Mohd Nasri RM172,000 manakala Abdul Wahab RM166,000 selain kedua-duanya perlu menyerahkan pasport.

Mahkamah turut menetapkan 1 Ogos depan untuk serahan dokumen.