KOTA BHARU: Seorang anggota polis retak pergelangan tangan kanan selepas terjatuh akibat ditendang dua suspek kes dadah di Kampung Pangkal Pisang, Melor, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud berkata sebelum kejadian itu dua anggota dari Balai Polis Kubang Kerian telah mengesan sebuah kereta dinaiki lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40 hingga 50-an dalam keadaan mencurigakan di Bandar Satelit Pasir Tumboh sekitar jam 3.45 pagi.

Beliau berkata suspek melarikan diri dengan memecut kereta itu namun berjaya ditahan di Kampung Pangkal Pisang.

"Semasa proses tangkapan dibuat kedua-dua suspek telah bertindak agresif serta berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota polis telah ditendang sehingga terjatuh dan mengakibatkannya mengalami kecederaan retak pergelangan tangan kanan.

"Namun anggota polis yang cedera bersama dengan rakan setugas tetap berjaya memberkas kedua-dua suspek berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata pemeriksaan lanjut di dalam kereta suspek menemukan ketulan-ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM700.

"Ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek itu dapati positif jenis dadah THC (Tetrahydrocannabinol).

"Polis turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai 23 rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah serta turut dikehendaki oleh pihak polis kerana terbabit aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Kota Bharu," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 15 Dis depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

-- BERNAMA