KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia secara berkumpulan, bulan lepas.
Ali Arshad, 36, dan Habib Ur Rahman, 43, didakwa bersama-sama merogol mangsa berusia 23 tahun di sebuah unit hotel di Jalan Imbi di sini antara 9.58 malam pada 14 April hingga 9.30 pagi, 15 April lepas.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu serius dan berkemungkinan kedua-dua tertuduh akan melarikan diri.
Terdahulu, peguam S. Vinesh yang mewakili Ali memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan kesalahan itu kali pertama dilakukan anak guamnya yang menetap di Malaysia selama 18 tahun dan bekerja di sektor perladangan.
Pada prosiding hari ini, Habib Ur tidak diwakili peguam.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan sehingga kes selesai dan menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA