KANGAR: Dua lelaki direman sehingga 16 Januari depan bagi membantu siasatan atas perbuatan menerima wang rasuah daripada banduan untuk diberikan kepada pegawai penjara di Perlis pada tahun lalu.

Perintah reman selama enam hari yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Majistret Kangar, Kamaliza Md Zain selepas suspek berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, semalam,

Menurut sumber SPRM, suspek ditahan semalam jam 6.30 petang selepas diminta hadir ke Pejabat SPRM Perlis untuk memberi keterangan berhubung siasatan berkenaan.

Kedua-dua suspek merupakan rakan baik dan mereka dipercayai menjadi proksi atau orang tengah bagi meminta wang rasuah daripada banduan di penjara untuk diberikan kepada pegawai penjara.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan 460 kali transaksi wang rasuah berjumlah sehingga RM80,000 sepanjang tahun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Negeri Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan penangkapan kedua-dua suspek berkenaan.