TANJUNG MALIM: Dua lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang mereka naiki dipercayai merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 365 Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS), dekat sini, pagi ini.

Mangsa, Lau Hock Hing @ Lau Fook Hin, 83 dan Pang Ah Kau @ Pang Ko Yung, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mereka menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 5.42 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Pajero, dipercayai melanggar bahagian belakang treler menyebabkan dua mangsa tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, katanya, pemandu treler yang berumur 31 tahun tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Isma Muhamad Ubaidullan Ahmad Rani tamat jam 7.05 pagi.