Sebuah pusat hiburan di ibu negara pagi tadi digegar dengan satu insiden tetak yang meragut dua nyawa.

Kejadian pada lewat malam semalam disyaki tercetus akibat salah faham antara dua kumpulan.

Menurut laporan polis, insiden berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di Solaris Dutamas 1 di Jalan Duta. Ketika insiden, terdapat lebih 50 orang pelanggan di premis tersebut.

Siasatan awal polis menerusi semakkan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sekumpulan suspek yang menaiki dua buah kenderaan berhenti di hadapan premis tersebut, sebelum menyerang ketiga-tiga mangsa.

Memetik laporan polis, sehingga kini tiada saksi tampil memberi maklumat terperinci berhubung kejadian tersebut.

Orang awam serta pekerja berhampiran premis tersebut memaklumkan kesemua suspek memakai topeng muka dan bersenjatakan parang.

Kesemua suspek melarikan diri menggunakan kenderaan yang sama sejurus menyerang ketiga-tiga mangsa.

Mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita, meninggal dunia beberapa jam ketika mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur berikutan cedera parah akibat ditetak manakala seorang lagi pengunjung lelaki cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian itu.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Rusdi juga mengesahkan polis telah menahan enam suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu, sekitar ibu negara kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Beliau berkata motif serangan dipercayai balas dendam serta terdapat elemen kongsi gelap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.