BALING: Dua maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dari arah hadapan di Kampung Baru Ketemba, Jalan Baru-Kulim- Grik, di sini pada Sabtu.

Mangsa yang maut pemandu kereta Proton Persona, Mohammad Syawal Mohd Sukri, 29, yang beralamat di Kampung Teluk Penghulu Him, Sungai Petani manakala seorang lagi penumpang kereta Perodua Kancil, Rokiah Kassim, 59, dari Kampung Becah Sawa, Siong meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian jam 5.20 petang berlaku apabila kereta Proton Persona yang dinaiki Muhammad Syawal sekeluarga termasuk isteri, ibu, adik dan anaknya dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan hendak pulang ke rumahnya di Sidam, Sungai Petani.

Manakala kereta Perodua Kancil yang dinaiki Rokiah bersama anak lelakinya, Mohd Fawwaz Faizal, 28, dari Kulim menghala ke rumah mereka di Kampung Becah Sawa.

"Namun sebaik Proton Persona itu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kancil  yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki ke laluan bertentangan sebelum merempuh di bahagian hadapan sebelah kanan Proton Persona terbabit.

"Impak kemalangan itu, kereta Perodua Kancil telah berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Shamsudin berkata, akibat daripada kemalangan itu, penumpang hadapan Perodua Kancil itu mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.45 petang dari petugas Unit Kecemasan Hospital Baling (HB) memaklumkan pemandu kereta Proton Persona meninggal dunia dalam ambulan sewaktu dalam perjalanan ke HB.

"Mayat kedua-dua mangsa yang maut kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat.

Sementara itu menurut Shamsudin, penumpang hadapan Proton Persona, Nor Afiqah Johari, 27, yang juga isteri kepada Muhammad Syawal mengalami patah kaki kiri manakala ibunya, Noor Milia Khidil, 54, cedera pada badan.

Manakala, dua lagi penumpang kereta Proton Persona terbabit, Ahmad Wafiy Mohd Sukri, 18, dan anak mangsa, Aisyah Mohamad Syawal (umur belum diperolehi) tidak cedera.

Pemandu kereta Perodua Kancil, Mohd Fawwaz Pula mengalami cedera di muka.

“Siasatan polis mendapati, ketika kejadian Mohd Fawwaz dipercayai baru menjemput ibunya pulang bekerja di sebuah kilang di Kulim.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.