SEGAMAT: Dua lelaki maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan berhampiran Jalan Kampung Melayu Raya, di sini, jam 8.29 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Marzuki Ismail berkata, mangsa yang maut ialah pemandu dan penumpang Ford Fiesta masing-masing berusia 19 dan 20 tahun.

Katanya setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati berlaku nahas jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Ford Fiesta dan sebuah kereta Mitsubishi Storm serta sebuah Motosikal.

"Difahamkan kenderaan mangsa dari arah Labis ke Segamat bertembung dengan kenderaan dari arah Segamat ke Felda Radong.

"Terdapat empat mangsa terlibat dalam kejadian tersebut. PKO bertindak mengeluarkan dua mangsa tersepit di dalam kereta dan serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa yang cedera ialah pemandu Mitsubishi Storm dan penunggang motosikal. Mangsa cedera dihantar ke Hospital Segamat untuk menerima rawatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini.