SIK: Dua pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kampung Kalai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, Muhamad Jeffri Mat Said, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dan menetap di Kampung Gajah Putih, Mukim Jeneri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala, seorang lagi mangsa, Mohd Zarif Ahmad Kamal, 32, beralamat di Kampung Datuk Syed Ahmad, Mukim Padang Peliang, Pendang yang menunggang motosikal Yamaha 135LC disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sik akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, arah pergerakan motosikal Yamaha Ego Solariz itu dari Kampung Gajah Putih menghala ke tempat kerjanya di Jeniang manakala motosikal Yamaha 135LC pula dari arah Jeniang menghala ke rumahnya di Kampung Datuk Syed Ahmad, Pendang.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang Yamaha Ego Solariz yang sedang menuruni jalan yang berbukit hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

"Kejadian itu menyebabkan berlaku pertembungan dengan penunggang Yamaha 135LC di bahagian hadapan sebelah kanan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang Yamaha Ego Solariz itu terbabas ke kiri jalan manakala seorang lagi penunggang terpelanting di bahu kanan jalan dan jatuh di atas jalan raya.

"Berikutan itu, penunggang Yamaha Ego Solariz itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang meninggal dunia sewaktu  sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sik," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Abdull Razak berkata, mayat kedua-duanya dibawa ke unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.