MALAYSIA
Dua pelajar lelaki 13 tahun mengaku bersalah tampar rakan sekelas

Dua pelajar lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menampar rakan sekelas mereka di sebuah pusat beli-belah pada 30 Julai lalu. -Gambar hiasan
KAJANG: Dua pelajar lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menampar rakan sekelasnya di sebuah pusat beli-belah, hujung bulan lepas.
Ringkasan AI
- Dua pelajar lelaki berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menampar rakan sekelas mereka di sebuah pusat beli-belah pada 30 Julai lalu.
- Mahkamah menetapkan 18 September untuk laporan akhlak daripada JKM sebelum menjatuhkan hukuman, dan membenarkan jaminan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin.
- Mangsa mengalami kecederaan ringan di muka dan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap cara komunikasi mangsa.
Prosiding hari ini dijalankan secara tertutup kerana mereka adalah pesalah bawah umur dan hadir bersama ibu bapa masing-masing.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama berkelakuan kurang sopan dengan cara menampar mangsa yang juga berusia 13 tahun di tempat awam bagi tujuan mengganggu keamanan di sebuah pusat beli-belah dekat sini, pada 11 pagi, 30 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Ketika ditemui media selepas prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri berkata pihaknya mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Lee Tee Kiat yang mewakili kedua-dua pelajar itu berkata pihaknya merayu supaya mahkamah memberikan jaminan rendah dalam lingkungan RM500 seorang.
"Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin sebelum prosiding jatuh hukum dan pendengaran laporan akhlak pada 18 Sept ini," kata Lee.
Pada 2 Ogos, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan rakan sekelas mangsa yang tidak puas hati dengan cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan mereka.
Susulan kejadian itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan di muka.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami