Skip to main content

Malaysia

Dua pelajar senior didakwa bunuh pelajar tingkatan dua di asrama

Dua remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di asrama sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, dua minggu lalu. - Foto Astro AWANI
Dua remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di asrama sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, dua minggu lalu. - Foto Astro AWANI

Advertisement

KUALA PILAH: Dua remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah sukan di sini, dua minggu lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh masing-masing berusia 16 tahun itu dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dua remaja itu didakwa bersama-sama telah membunuh seorang remaja berusia 14 tahun di asrama sebuah sekolah sukan di daerah ini antara pukul 7.30 dan 8.50 malam, 25 Sept lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala dua remaja itu diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Hanif ketika ditemui media memaklumkan pihaknya telah memohon supaya kedua-dua penama diberikan intervensi kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh penahanan mereka.

“Pihak pembelaan ada memohon kepada mahkamah untuk satu arahan supaya kedua-dua remaja ini untuk dihantar ke pusat koreksional sementara menunggu tarikh yang akan datang.

“Ia supaya satu intervensi dalam aspek kaunseling diberikan oleh JKM, bagi membantu kedua-dua penama daripada segi mental dan emosi, sesuai dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak,” katanya ketika ditemui.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah sukan di sini kira-kira jam 8 malam.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, namun disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk bedah siasat.

Susulan itu, dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga senior mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

Must Watch Video

Advertisement